Thursday, March 11, 2021

Israk & Mikraj


Israk & Mikraj


Sebelum Isra’ dan Mikraj 

Sebelum berlangsungnya peristiwa agung ini, baginda Rasulullah s.a.w telah mengalami pembedahan dada atau perut. Pembedahan ini dilakukan oleh malaikat Jibril dan Mikail. Hati Baginda s.a.w dicuci dengan air zam-zam, dibuang ketul hitam (ʹalaqah) yang merupakan tempat syaitan membisikkan was-wasnya. Hati baginda yang dibelah itu, kemudian dimasukkan hikmah, ilmu dan iman ke dalamnya. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “Khatmun Nubuwwah”. 

Khadam Rasulullah s.a.w selama 10 tahun pemukiman Nabi di Madinah, Anas bin Malik r.a pernah melihat sendiri kesan jahitan pada dada Rasulullah s.a.w akibat telah menjalani pembedahan ini biarpun zaman itu umumnya masih belum menerima teori bedah dan sistem jahitan yang sungguh canggih bahkan menepati kaedah perubatan sebenarnya. Selesai pembedahan tersebut, binatang tunggangan para Rasul bernama Buraq pula didatangkan untuk ditunggangi oleh Rasulullah s.a.w dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan ʺIsra’ʺ itu. 

 Semasa Isra’ dan Mikraj

 (a) Semasa Isra’ 

 Mustafa al-Siba’ie (2004) menghuraikan bahawa Isra’ dan Mikraj berlangsung antara lokasi Masjid al-Haram di Makkah ke Masjid al-Aqsa di Palestin dengan melalui peristiwa-peristiwa yang begitu menakjubkan. 
  •  Ajaibnya juga, peristiwa sebuah batu besar tempat Nabi berpijak untuk dinaikkan ke langit ingin mengikuti Nabi, tetapi Nabi telah menahannya. Ini menyokong lagi bukti kesahihan peristiwa Isra’ dan Mikraj ini yang patut kita diimani memandangkan ia termasuk hal-hal yang ghaib. 
  • Sepanjang perjalanan Isra’ Rasulullah s.a.w yang diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibril itu, baginda telah tiba di lokasi-lokasi penting yang mempunyai martabat dan kemuliaannya yang tersendiri untuk diabadikan dalam sejarah Islam. Seluruh tempat tersebut baginda Rasulullah telah diarah oleh Jibril supaya berhenti dan bersolat sebanyak dua rakaat di situ. Antara tempat-tempat berkenaan adalah seperti berikut: 
    •  (i) Kota Thaibah atau Yathrib (nama lama bagi Madinah) yang merupakan tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah 
    • (ii) Bukit Tursina yang merupakan tempat Nabi Musa a.s menerima wahyu daripada Allah 
    • (iii) Baitul Laham di mana tempat Nabi Isa a.s dilahirkan 
  • Dalam perjalanan itu juga, baginda Rasulullah s.a.w menghadapi gangguan jin Ifrit dengan obor api dan dapat menyaksikan peristiwa-peristiwa atau gambaran-gambaran simbolik yang amat ajaib sebagai berita-berita ghaib yang disingkapkan Allah melalui junjungan besar Baginda Nabi s.a.w. Antara yang disaksikan baginda adalah: 
    • Kaum yang sedang bercucuk tanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. Apabila dituai, hasil (buah) yang baru, tiba-tiba keluar semula, seolah-olah ia belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulangulang.Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibril “Itulah kaum yang berjihad ʺFisabilillahʺ yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda, bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak”. 
    • Tempat yang berbau harum. Rasulullah s.a.w diberitahu oleh Jibril “Itulah bau kubur Masyitah (tukang sikat rambut anak Firʹaun) bersama suaminya dan anak-anaknya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Firʹaun kerana tetap teguh beriman kepada Allah (tidak mahu mengakui Firʹaun sebagai Tuhan)”. 
    • Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala dan bercantum semula lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibril memberitahu Rasulullah “Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (solat)”. 
    • Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam.Kata Jibril “Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka”. 
    •  Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak yang elok ada di sisi mereka. Kata Jibril “Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri atau suami”
    •  Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibril “Itulah orang yang makan riba”. 
    • Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibril “Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih sanggup menerima amanah yang lain”.
    • Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan gunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibril “Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya”. 
    •  Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibril “Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela dan menghinakan) orang”. 
    • Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tidak dapat masuk semula ke lubang itu. Kata Jibril “Itulah orang yang suka bercakap besar (takabbur)”. 
    • Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibril “Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat”.
    • Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah s.a.w tidak menghiraukannya. Kata Jibril “Itulah orang yang mensia-siakan umurnya sampai ke tua”. 
    •  Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibril “Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat”. 
Setibanya di Masjid Aqsa, Rasulullah s.a.w turun dari Buraq. Kemudian Baginda masuk ke dalam masjid dan mengimamkan solat dua rakaat yang makmumnya terdiri daripada Nabi-nabi dan Rasul-rasul alaihimussalam. Setelah itu, Rasulullah s.a.w terasa dahaga, lalu dibawa Jibril dua bekas yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibril “Baginda membuat pilihan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat”.


 (b) Semasa Mikraj 

• Setelah itu Rasulullah dimikrajkan di malam yang sama dari Baitul Maqdis ke langit terdekat, 
  • Jibril meminta supaya dibuka pintu langit pertama, setelah dibukanya, di sana Rasulullah telah melihat Adam (a.s) bapa sekalian manusia, baginda pun memberi salam kepadanya, baginda dialu-alukan dan dibalas salamnya dan baginda diperakukan dengan kenabiannya. Allah memperlihatkan kepada baginda roh-roh para syuhadaʹ di sebelah kanannya dan roh-roh yang terseksa di sebelah kirinya. 
  •  Kemudian baginda dibawa naik ke langit kedua, Jibril meminta supaya dibuka pintu langit, setelah dibuka mereka memasukinya di sana didapati Nabi Yahya bin Zakaria dan Isa Ibni Mariam, diberinya salam lalu dijawab salam dan dialu-alukan mereka, di samping memperakui kenabian Muhammad (s.a.w). 
  • Setelah itu Jibril membawa Rasulullah ke langit ketiga di sana mereka bertemu dengan Nabi Yusuf, setelah salam diberi dan disambut baginda dialu-alukan dan diperakui kenabiannya. 
  • Seterusnya Rasulullah dibawa ke langit keempat di sana Baginda berjumpa dengan Nabi Idris (a.s), Rasulullah memberi salam kapadanya dan beliau menjawab. Baginda dialu-alukan dan diakui kenabian baginda. 
  •  Lepas itu Baginda dibawa ke langit kelima di sana Baginda bertemu dengan Nabi Harun bin Imran, baginda menjawab salam yang diberi. Baginda dialu-alukan dan diakui kenabiannya. 
  • Kemudian Baginda dimikrajkan ke langit keenam. Di sana baginda bertemu dengan Musa (a.s). Baginda memberi salam dan dijawab maka dialu-alukan dan diperakui kenabiannya. Setelah Rasulullah berlepas dari Musa, Musa pun menangis, lalu ditanya Musa apa yangmembawa kau menangis? Jawab Musa “Aku menangis kerana orang yang diutuskan selepasku, umatnya memasuki Syurga lebih ramai dari umatku”
  •  Seterusnya Rasulullah dimikrajkan ke langit ketujuh, padanya baginda menemui Ibrahim (a.s), setelah salam diberi dan dijawab,Baginda dialu-alukan dan diakui kenabiannya.
  • Sesudah itu baginda dimikrajkan ke Sidratul Muntaha dan dibawa ke Baitul Maʹmur serta mendengar tulisan al-Qalam di Lauh Mahfuz.
  • Akhirnya baginda dimikrajkan mengadap Allah al-Jabbar Jalla Jalaluh di arasyNya yang tertinggi. Baginda menghampiriNya paling terdekat, maka difirman dan diwahyukan serta difardukan kelima kepada hambaNya Muhammad lima puluh waktu solat.

    Dengan itu, baginda pun turunlah untuk pulang, namun di tengah jalan, baginda menemui Nabi Allah Musa bin Imran a.s yang bertanyakan kepada Rasulullah s.a.w: “Dengan apa engkau diperintahkan?”
    Jawab baginda “Aku difardukan dengan lima puluh waktu solat”,
    jawab Musa “Umat engkau tidak akan mampu, kembalilah kepada Tuhan pohon kepadaNya pengurangan, demi untuk umat engkau”,
    baginda berpaling kepada Jibril bagaikan untuk mendapat pandangan, maka Jibril pun memberi persetujuan dengan pendapat Musa itu, dengan itu Jibril membawa semula hingga ke hadapan Tuhan Rabbul Jalil, justeru itu Allah pun mengurangkan hingga tinggal sepuluh waktu sahaja, maka baginda turun, semasa itu sekali lagi baginda melewati Musa (a.s), baginda menceritakan apa yang berlaku, maka kata Musa sekali lagi sebagai menasihati, Ayuh pulang semula kepada Tuhanmu mintakan agar dikurangkan lagi, demikianlah Rasulullah berulang-alik di antara Allah Rabbul Jalil dan Musa, dengan itu Allah perkurangkan, hingga tinggal menjadi lima waktu solat sahaja, masih lagi Musa menyuruh Rasulullah memohon pengurangan lagi, kemudian Rasulullah mengatakan:“Sesungguhnya aku terasa malu, malah setakat ini aku merelai dan menerima perintahNya itu”, setelah berjauhan baginda diseru,“Sesungguhnya Aku menguatkuasa solat fardu dan Aku ringankan ke atas hamba-hambaKu”. 


 (c) Selepas Mikraj 

 Rasulullah s.a.w turun ke langit dunia semula, seterusnya turun ke Baitul Maqdis, lalu penunggang Buraq dalam perjalanan pulang ke Makkah pada malam yang sama. Ada riwayat menyatakan bahawa tempat tidur Baginda Nabi s.a.w masih terasa kehangatannya di saat kepulangan baginda ke Makkah bagi membuktikan kekuasaan Allah s.w.t yang memperjalankan hambaNya dalam tempoh waktu yang sekejap sahaja. 

Perjalanan ini berakhir dengan menyimpan tanda-tanda dan maklumatmaklumat ghaib yang dikhabarkan Nabi s.a.w kepada umatnya. 

Pengajaran Israk & Mikraj

Untuk itu, peristiwa Isra’ dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara-perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. 
  •  Peristiwa Isra’ dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaanNya. Seandainya peristiwa dalam Isra’ dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. 
  •  Kejadian Isra’ dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (adakah dipercayai atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi s.a.w langsung tidak mempercayai, malahan memperolokolokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka. 
  • Peristiwa Isra’ dan Mikraj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah s.w.t. Allah s.w.t telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaranNya kepada baginda s.a.w. 
Firman Allah s.w.t: “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari al-Masjidil Haram ke al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian daripada tanda-tanda kebesaran Kami.Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israaʹ: Ayat 1)

No comments:

Post a Comment