Ramadan (bahasa Arab: رمضان, transliterasi: Ramaḍān, terjemahan harfiah: "panas terik") (biasa digelar "Ramadan al-Mubarak") ialah bulan yang ke-9 dan bulan yang dianggap paling suci dalam kalendar Islam. Seperti bulan Islam lain, bulan ini mempunyai 29 atau 30 hari. Dalam bulan ini, umat Islam ini diwajibkan berpuasa seperti yang termaktub dalam al-Quran yang bermaksud:
"Bulan Ramadan, yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan (antara yang benar dan salah). Oleh itu, barang siapa antara kamu hadir di bulan itu, maka hendaklah dia berpuasa pada bulan itu... ” — surah Al-Baqarah, ayat 185
Amalan di Bulan Ramadhan
Puasa Ramadhan
Selama sebulan Ramadan, umat Islam akan berpuasa setiap hari, dari terbit fajar (subuh) sehinggalah terbenamnya matahari (maghrib). Selama berpuasa, mereka harus menahan diri daripada makan, minum dan perkara-perkara lain yang membatalkan puasa sehingga tiba waktu berbuka. Syariat ini diturunkan pada 10 Syaaban tahun ke-2 Hijrah dan sejak itu, masyarakat Islam menyambut bulan Ramadan dengan seharian berpuasa.
Orang Islam disunatkan bersahur sebelum berpuasa. Sahur (makan sebelum fajar) membezakan puasa orang Islam dan puasa lain.
Semasa berbuka puasa (iftar), disunatkan pula berbuka dengan makanan atau minuman manis serta tidak berlebih-lebihan. Disunatkan juga untuk menjamu orang lain berbuka puasa.
Solat Terawikh
Pada malam harinya, setelah solat Isyak, umat Islam melanjutkan ibadahnya dengan melaksanakan solat Tarawih, solat khusus yang hanya dilakukan pada bulan Ramadan. Solat tarawih, walaupun dapat dilaksanakan bersendirian, umumnya dilakukan secara berjama'ah di masjid-masjid. Di sesetengah tempat, sebelum pelaksanaan solat tarawih, diadakan ceramah singkat untuk menasihati para jama'ah
Zakat Fitrah
Zakat fitrah ialah zakat yang dikeluarkan khusus pada bulan Ramadan atau paling lambat sebelum selesainya Solat Sunat Hari Raya. Setiap individu muslim yang berkemampuan wajib membayar zakat jenis ini.
Nilai zakat fitrah yang harus dikeluarkan per individu ialah satu gantang makanan ruji di daerah bersangkutan. Jumlah ini adalah setara dengan 2.70 kg beras.
Aidilfitri
Akhir bulan Ramadan dirayakan oleh seluruh umat Islam di dunia. Pada malam harinya (malam 1 Syawal), yang biasa disebut malam kemenangan, mereka akan mengumandangkan takbir bersama-sama.
Pada 1 Syawal, yang dirayakan sebagai Hari Raya Aidilfitri, semua Muslim baik lelaki mahupun perempuan digalakkan ke masjid untuk melakukan Solat Sunat Hari Raya. Solat dua rakaat ini akan diikuti khutbah mengenai Aidil Fitri.
No comments:
Post a Comment