Kesan & Pengajaran Piagam Madinah
Hikmah daripada piagam Madinah, penduduk Madinah yang berbilang bangsa dan agama hidup bersatu padu. Selain itu, ajaran Islam yang murni dan akhlak nabi yang terpuji menarik minat golongan musyrikin untuk memeluk Islam. Maka syiar Islam pun berkembang. Bilangan umat Islam pula semakin bertambah sekali gus memperkukuhkan negara Islam Madinah di persada Tanah Arab dan setanding kerajaan dunia semasa ketika itu seperti Rom dan Parsi.
Aspek
Perbandingan
Sebelum Piagam Madinah & Selepas Piagam Madinah
(Kesan Positif)
- PERKEMBANGAN ISLAM
- Sebelum : Dakwah Islam terhalang dan sukar diterima masyarakat.
- Selepas : Islam tersebar pesat dan terbentuknya negara Islam negara Madinah.
- KERJASAMA ANTARA KAUM
- Sebelum : Kaum-kaum di Madinah saling bermusuhan.
- Selepas : Mereka hidup bersatu-padu dan aman-damai.
- EKONOMI
- Sebelum : Ekonomi agak mundur.
- Selepas : Ekonomi bertukar jadi
semakin maju dan stabil.
- KEHIDUPAN RAKYAT
- Sebelum : Umat Islam menderita, disiksa dan tiada pembelaan mahupun perlindungan.
- Selepas : Umat Islam berada dalam keamanan, makmur dan terjamin keselamatan
Pengajaran daripada pembentukan Piagam Madinah
Piagam Madinah terakam dalam lebaran tamadun kemanusiaan sebagai undang-undang bertulis yang diiktiraf sebagai yang terawal dalam sejarah dunia. Daripada peristiwa besar dalam Sirah Rasul berupa pembentukan Piagam Madinah ini, dapatlah kita rumuskan beberapa pengajaran penting antaranya:
- Negara tanpa undang-undang, ibarat manusia tanpa pedoman, manusia akan sesuka hatinya melakukan pelbagai jenayah tanpa rasa segan dan malu. Hawa nafsu dijadikan Tuhan sebagai bertentangan dengan suruhan Ilahi. Perasaan kemanusiaan akan pudar dan hilang. Oleh itu, mewujudkan negara berperaturan adalah amat wajar demi keselamatan rakyat seluruhnya.
- Rasulullah s.a.w sebagai pembimbing umat menyebarkan dakwah kepada penduduk Madinah melalui kebijaksanaannya memimpin dengan mewujudkan Piagam Madinah. Justeru, umat Islam seharusnya mencontohi Nabi dalam segenap aspek kehidupan termasuk pentadbiran negara yang berdaulat dan merdeka.
- Peraturan dan undang-undang yang terlaksana mewujudkan iklim politik yang stabil dan pertumbuhan ekonomi yang pesat. Peningkatan ekonomi penduduk Madinah dapat dirasai, berbanding sebelumnya. Ini disebabkan ramai pedagang-pedagang berhijrah ke Madinah untuk berniaga dalam keadaan selamat dan mendapat hasil yang menguntungkan setelah diyakini politik negara itu yang stabil.
- Persefahaman dan undang-undang yang kemas menyeragamkan hubungan masyarakat setempat dan merapatkan jurang perbezaan pelbagai kaum. Dengan Piagam Madinah, terbukti kehidupan masyarakat Madinah yang majmuk tersebut bertambah harmoni dan jauh daripada api sengketa atau permusuhan dalaman antara komuniti setempat.
- Undang-undang seharusnya meletakkan Allah s.w.t dan RasulNya sebagai tonggak tertinggi, agar wujudlah negara yang dijoloki sebagai Baldatun Taibatun wa Rabbun Ghafur. Dengan itu, terhasil sebuah negara yang dinaungi rahmat dan berkat daripada Allah Yang Maha Kuasa. Penduduk Madinah mentaati Rasulullah dalam peristiwa ini sebagai ketua dalam negara sekali gus menjadikan syariat Islam sebagai sumber perundangan yang paling utama.
No comments:
Post a Comment