Pengajaran Daripada Dakwah Secara Rahsia
- Rasulullah s.a.w berdakwah secara rahsia bukanlah kerana takut kepada ancaman dikenakan terhadap diri baginda kerana baginda yakin bahawa Allah berkuasa memelihara diri baginda dari sebarang ancaman.Sekiranya Allah mengarahkan supaya berdakwah secara terang-terangan dari awal pasti baginda akan melaksanakannya biarpun mendapat ancaman .Allah mengilhamkan kepada baginda untuk berdakwah secara rahsia kerana untuk mengajar kepada para pendakwah selepas baginda, dan menunjukkan kepada pendakwah jalan-jalan yang boleh menyampaikan kepada matlamat dakwah. Dengan itu harus bagi pendakwah pada setiap zaman menggunakan kaedah fleksibel dalam berdakwah-sama ada secara rahsia atau terus terang, lembut atau kasar-mengikut suasana tempat pendakwah dan pendakwah harus melihat maslahah umat islam di tempat tersebut dan maslahah dakwah islam.
- Mana-mana ajaran atau dakwah apabila berlainan dan tidak sama dengan pegangan orang ramai,apatah lagi bertentangan dengan fikiran mereka, hendaklah lebih dahulu dijalankan secara sembunyi jangan lagi berterus -terang. Tunggulah sehingga ada orang yang beriman yang sanggup mengorbankan segala-galanya baik harta benda mahupun jiwa raga mereka kerana islam,dikala itu barulah boleh berterus terang.Ini kerana apabila pendakwah atau pemimpinnya menerima seksaan daripada pihak musuh atau ditahan atau sebagainya akan bangunlah pengikut-pengikutnya yang beriman dan setia tadi meneruskan kewajipan mereka.Dengan demikian akan menjaminkan kesinambungan dakwah berterusan dan tidak tergendala perjuangannya disebabkan kehilangan pemimpin tersebut.
- Para juru dakwah hendaklah berusaha mengadakan perjumpaan dengan pengikut dan pendokongnya secara beberapa ketika dalam setiap hari dan minggu supaya dapat menambahkan lagi keyakinan mereka terhadap dakwahnya. Dan sekaligus dapat pula mengajar mereka cara-cara , pendekatan-pendekatan dan tatacara dakwah yang harus dipelajari.Sekiranya suasana tidak mengizinkan perjumpaan itu dilakukan secara terbuka maka hendaklah diadakan secara sembunyi agar tidak dapat dikesani musuh yang sentiasa menunggu peluang untuk menghancurkan kegiatan dakwah itu atau sekurang-kurangnya dapat mereka memperkuatkan lagi tekanan ke atas para pendakwah tadi.
- Seorang pendakwah harus teguh pendirian dan tetap jiwa untuk menjamin kelangsungan dakwahnya,sekalipun jalan yang dilaluinya penuh dengan dugaan dan cubaan,samada dalam bentuk susah dan duka mahupun dalam bentuk senang dan suka.Sesungguhnya duka nestapa bagi seorang mukmin dalam perjalanannya menuju pantai kebenaran adalah ketenangan hati dan jiwa kerana keredhaan Allah dan keindahan syurga jauh lebih mulia dan mahal bagi mereka daripada segala pangkat kebesaran dan segala mata benda dunia
No comments:
Post a Comment