Perjanjian Aqabah kedua
Tahun Ke-13 Kerasulan
Pada musim haji, bulan Zulhijjah tahun ke-13 selepas kerasulan pula, bersamaan Jun 622 Masihi, datang pula rombongan seramai 70 orang lebih kaum muslimin penduduk Yathrib, bersama-sama kumpulan haji musyrikin bagi melaksanakan ibadat haji. Dalam perjalanan itu, mereka memikirkan nasib Rasulullah s.a.w dan para Sahabat sudah tidak aman lagi di Makkah bahkan sentiasa menjadi buruan Kuffar Makkah dan diancam keselamatannya.
Sebaik sahaja mereka tiba di Makkah, mereka telah membuat beberapa pertemuan sulit dengan Rasulullah hingga berakhir dengan persetujuan kedua belah pihak untuk mereka bertemu lagi di pertengahan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah), di persimpangan berhampiran ‘Aqabah di mana upacara Jamrah atau ibadat melontar dilakukan di sana. Pertemuan itu juga di dalam suasana rahsia di tengah malam gelap gelita. Di sini, salah seorang pemimpin Ansar untuk memberi laporan mengenai pertemuan yang bersejarah lagi penuh berkat itu, yang telah mengubah perjalanan masa dalam detik pertembungan di antara Islam dan penyembahan berhala, Kaab bin Malik al-Ansari r.a telah menceritakan:
“Kami telah keluar ke tempat haji, sebelumnya kami telah pun membuat perjanjian dengan Rasulullah untuk bertemu di ʹAqabah pada pertengahan hari-hari Tasyriq. Pada malam yang kami janjikan itu, Abdullah bin Amru bin Hiram salah seorang ketua pimpinan kami dan orang yang kami muliakan, telah kami rencanakan satu perjumpaan yang sengaja kami rahsiakan daripada kaum sebangsa kami yang masih musyrik lagi, yang turut bersama untuk mengerjakan haji. Pada malam itu, kami telah berbincang dengan Abdullah bin Amru. Kata kami; ”Wahai Abu Jabir! Tuan adalah salah seorang pemimpin kami dan tokoh yang kami muliakan, sebenarnya kami tidak rela engkau dicampakkan ke dalam api neraka sebagai bahannya di suatu hari esok, dengan itu kami menyeru kepada Islam. Seterusnya kami ceritakan tentang pertemuan kami dengan Rasulullah di Aqabah. Kata Kaab tanpa berlengah: ”Abdullah bin ’Amru lantas mengucap dua kalimah syahada dan beliau turut serta di pertemuan ʹAqabah, di mana beliau telah dilantik menjadi naqib dan ketua”.
Sambung Kaab lagi: “Di malam itu, kami segera tidur bersama-sama kaum kami di samping peralatan perjalanan, sehingga apabila berlalu sepertiga malam, kami pun keluar dari perkarangan khemah untuk menemui Rasulullah s.a.w dengan penuh berhati-hati bak burung puyuh melalui denainya, hinggalah kami semuabertemu dan berkumpul di persimpangan al-’Aqabah. Kami yang berjumlah 73 orang lelaki dan 2 orang wanita iaitu; Nusaibah binti Kaab yang dikenali sebagai Ummu ʹAmmarah dari kabilah Bani Mazin bin Najar yang kedua ialah Asma’ binti Amru dikenali sebagai Ummu Hani’ dari kabilah Bani Salamah. Akhirnya, kami semua pun berkumpul di persimpangan yang dijanjikan,menunggu ketibaan Rasulullah. Tepat pada masanya, Rasulullah pun datang, dengan diiringi al-Abbas bin Abd al-Muttalib, yang masih lagi dengan agama kaumnya, namun beliau rela menyertai dan menyokong urusan anak saudaranya itu dan beliau pula orang pertama bercakap di dalam majlis itu”.
Jawab Kaab: “Kami menegaskan kepada al-Abbas: Sekarang kami hendak dengar dari Rasulullah, ayuh Rasulullah sebutkan apa sahaja kewajipan kami untuk dirinya (s.a.w) dan untuk Tuhannya sekehendak hati Rasulullah (s.a.w).” Jawapan Kaab itu menggambarkan keazaman yang memuncak, keyakinan, keberanian, keimanan dan keikhlasan yang bersifat infiniti di dalam rangka menanggung beban tanggungjawab yang amat agung itu, di samping mereka sudah menyangka dan mengambil kira risiko yang bakal menimpa mereka kelak. Akhirnya, Baginda Rasulullah s.a.w pun membentangkan isi-isi perjanjian dan dipersetujui oleh pihak al-Ansar.
Isi-isi Perjanjian ‘Aqabah Kedua
Imam Ahmad r.a telah meriwayatkan dari Jabir bin Abdullah r.a bahawa daku berkata; “Wahai Rasulullah, di atas apakah yang akan kami berjanji dengan Tuan?” Jawab Rasulullah, kamu berjanji untuk:
- Mendengar dan mematuhi dalam keadaan sibuk mahupun lapang.
- Berinfaq semasa susah dan senang.
- Menyeru kepada maʹruf dan mencegah kemungkaran.
- Berjuang kerana Allah tanpa mempedulikan ancaman orang.
- Menyokong aku setibanya aku di kalangan kamu nanti, mempertahankan aku seperti mana kamu pertahankan diri dan anak isteri kamu, sebagai balasan, adalah syurga Allah di akhirat nanti.
No comments:
Post a Comment