Friday, June 5, 2020

Perjanjian Aqabah Pertama


Perjanjian Aqabah Pertama


Tahun Ke 11 Kerasulan

Aqabah merupakan sebuah lokasi ibadat haji (masy’ar al-Haram) di Mina, Bandar Makkah al-Mukarramah. Jaraknya kira-kira 10 kilometer daripada Masjid al-Haram, Makkah. Perjanjian ‘Aqabah pertama ini adalah hasil daripada pemelukan enam orang dari penduduk Yathrib (Madinah) di musim haji tahun ke-11 kerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w. Mereka yang berada di Mina ketika itu sanggup dan bersedia menerima ajaran ‘baru’ ketika itu dan berjanji kepada Rasulullah untuk menyebarkan risalah Islam di Madinah, apabila mereka telah pulang daripada menunaikan haji kelak berbanding kaum Musyrikin Makkah yang memandang ‘lekeh’ ajakan Nabi kepada agama Islam yang murni ini.

Tahun Ke 12 Kerasulan

Hasilnya, pada musim haji berikutnya, bertepatan bulan Zulhijjah tahun ke-12 selepas kerasulan baginda Nabi Muhammad s.a.w, bersamaan Julai 621 Masihi, seramai 12 orang lelaki termasuk 5 orang yang telah bertemu Rasulullah di tahun lepas telah tiba ke Makkah. 

Tujuh orang yang baru ini termasuk:
  •  Muaz bin al-Harith Ibn ʹAfa al-Najjari al-Khazraji 
  • Zakwan bin Abd al-Qais Banu Zuraiq al-Khazraji 
  • Ubbadah bin al-Samit daripada Bani Ghanam al-Khazraji 
  • Yazid bin Thaʹlabah sekutu Bani Ghanam al-Khazraji 
  • al-Abbas bin ‘Ubadah daripada Bani Salim al-Khazraji 
  • Abu al-Haitham bin Bani ‘Abd al-Tihan al-Asyhal al-Ausi 
  • Uwaim bin Saʹidah Bani Amru bin Auf al-Ausi


Dua yang akhir adalah daripada kabilah al-Aus manakala yang lain sebelumnya daripada suku al-Khazraj. Mereka kesemua telah bertemu dengan Rasulullah di Mina, terus berjanji dengan Rasulullah s.a.w berdasarkan Bai’ah al-Nisaʹ (Isi-isi Perjanjian Wanita), iaitu corak perjanjian yang dimeteraikan dengan kaum wanita semasa pembukaan kota Makkah. 

Al-Imam al-Bukhari meriwayatkan dari Ubbadah bin al-Samit bahawa Rasulullah s.a.w telah berkata kepada mereka: “Ayuh mari berjanji denganku, untuk kamu: 
  •  Tidak menyekutukan Allah dengan sebarang sesuatu 
  • Tidak mencuri 
  • Tidak berzina 
  • Tidak membunuh anak-anak kamu 
  • Tidak melakukan pembohongan dengan mendakwa anak-anak yang mereka pungut di jalan sebagai anak sendiri 
  • Tidak mengengkari aku pada kebaikan sesiapa di antara kamu yang menunaikannya maka balasannya adalah dari Allah s.w.t dan sesiapa yang melanggarnya lalu dihukum maka itu adalah kaffarah baginya di dunia. Tetapi, sekiranya Allah melindunginya, maka itu terserah kepada Allah dan sekiranya Allah mengampunkannya maka itu adalah nasib baiknya”. 
Sambung Ubbadah r.a “Dengan itu aku pun berjanjilah dengannya”. Dalam riwayat lain menyebut: ʺMaka kami pun berjanji dengannya di atas dasar ituʺ.



No comments:

Post a Comment