30 perkara penting untuk bakal pengantin
Bersiap sedia untuk menjalani hari paling bersejarah dalam hidup kita sememangnya sesuatu yang mendebarkan. Bagi mereka yang tidak pasti bagaimana untuk memulakan persiapan perkahwinan bagi majlis anda, di sini kami ada sediakan senarai checklist persediaan perkahwinan yang sesuai dibuat kira-kira 6 bulan terakhir sebelum tarikh majlis. Anda ingin ketahui lebih lanjut? Teruskan membaca!
- Pilih Tarikh dan Tempat Nikah
- Antara perkara paling utama untuk dilakukan terlebih dahulu semasa persediaan perkahwinan adalah menentukan tarikh dan tempat nikah. Yelah, tanpa kedua-dua perkara ini, memang tidak akan terjadi langsung majlis perkahwinan anda.
- Ada yang ingin melangsungkan majlis akad nikah di rumah sendiri dan ada juga di masjid.
- Selalunya ramai yang memilih tarikh hujung tahun semasa cuti sekolah. Ada juga yang gemar memilih tarikh semasa cuti umum dan ada juga yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan mereka semasa hari lahir mereka. Terpulang, yang penting adalah persetujuan di antara kedua-dua belah pihak.
- Tentukan Tarikh dan Lokasi Majlis Perkahwinan Kedua-dua Pihak
- Selain daripada tarikh dan lokasi nikah, anda juga perlu menentukan tarikh dan lokasi majlis perkahwinan selewat-lewatnya 6 bulan sebelum majlis. Ini adalah untuk memberikan ruang dan masa kepada pengantin untuk menjalankan persiapan perkahwinan dengan lancar. Lagi satu, pastikan tarikh tersebut dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak pengantin lelaki dan perempuan.
- Jika anda berdua tinggal di dua negeri yang berbeza, berikan sedikit jarak masa antara kedua-dua majlis. Kalau tidak, anda dan ahli keluarga akan kepenatan kerana terkejar-kejar.
- Tetapkan Konsep dan Tema Warna Majlis Perkahwinan
- Bagi melancarkan proses penyediaan dewan, pelamin, dulang hantaran dan baju pengantin, pastikan anda berbincang dengan pasangan anda tentang konsep dan tema warna majlis perkahwinan anda.
- Antara konsep yang sering menjadi pilihan ramai adalah:
- Klasik Melayu
- Klasik Cina
- Klasik India
- Konsep Dalam Taman
- Konsep Inggeris
- Konsep Santai
- Konsep Hipster
- Konsep Pantai
- Konsep Islamik
- Konsep Moden
- Bagi tema warna, ia penting untuk dibincang awal kerana bukan sahaja ia menentukan warna hiasan pelamin dan baju pengantin anda, malah warna pakaian ahli keluarga anda (selalunya sedondon) dan juga warna tema dulang hantaran!
- Bincangkan Hantaran dan Jumlah Dulang
- Antara perkara lain yang perlu dimasukkan ke dalam senarai checklist persediaan perkahwinan anda juga adalah bilangan dulang hantaran dan bajetnya. Kadangkala, pengantin lupa untuk berbincang tentang hal ini. Akibatnya, semua menjadi kelam-kabut dan caca-merba pada saat akhir.
- Selalunya pengantin akan berbalas dulang di dalam kombinasi berikut:
- Wanita 11 dulang, Lelaki 9 dulang
- Wanita 9 dulang, Lelaki 7 dulang
- Wanita 7 dulang, Lelaki 5 dulang
- Seperti yang anda perasan, jumlah dulang adalah dalam nombor ganjil. Adakah ia wajib? Tidak! Tetapi ia telah pun menjadi adat kita orang Melayu.
- Mulakan Urusan dengan Pejabat Agama Islam
- Hal berikut ini juga amat penting – memulakan urusan dengan Pejabat Agama Islam dari negeri masing-masing.
- Ambil borang nikah
- Ketahui siapa kadi nikah
- Tentukan saksi-saksi nikah
- Isi borang dan dapatkan tandatangan pengesahan dari ketua kampung atau orang berkenaan
- Ketahui mas kahwin di negeri anda (ini berubah saban tahun dan bergantung kepada negeri masing-masing)
- Semak status permohonan nikah
- Pastikan Pendaftar Perkahwinan di tempat anda tahu tarikh nikah anda
- Sahkan kehadiran tok kadi dan saksi
- Tentukan Bajet Perkahwinan
- Lagi satu hal persiapan perkahwinan adalah tentang bajet. Pastikan anda tetapkan bajet kewangan mengikut kemampuan pasangan dan keluarga anda. Tidak perlu bergolok-gadai. Biar ringkas tetapi meriah!
- Saban tahun, kos perkahwinan semakin meningkat naik, jadi jika anda merancang untuk berkahwin, pastikan anda mula menyimpan sedikit-sedikit.
- Untuk berjimat, tengok tips di bawah: Antara kos yang perlu anda ambil kira di dalam bajet ini adalah seperti di senarai semak persiapan perkahwinan di bawah (ia anggaran kasar semata-mata):
- Kos hantaran (bagi lelaki) – RM10,000 – RM20,000
- Kos tempahan dewan – RM 1,000 – RM3,000
- Kos katering – RM7,000 – RM25,000
- Kos pelamin – RM 1,000 – RM 15,000
- Kos mak andam – RM1,000 – RM 3,500
- Kos sewa baju pengantin – RM1,000 – RM5,500
- Kos kad kahwin – RM100 – RM1,000
- Kos dulang hantaran – RM 500 – RM5,000
- Kos bilik pengantin – RM100 – RM 500
- Kos sewa hotel/homestay untuk tetamu rapat – RM300 – RM1,000
- Kos jurugambar – RM1,000 – RM 3,500
- Kos upah/baju pengapit dan dulang girls/boys – RM300 – RM500
- Kos penanggah katering (jika ada) – RM500 – RM700
- Kos berbukan madu (jika mahu) – RM500 – RM1,000
- Jalani Pemeriksaan Kesihatan dan Ujian HIV
- Pemeriksaan kesihatan dan ujian HIV juga merupakan faktor penting dalam kelancaran persiapan kahwin anda. Dulu, ianya bukan sesuatu yang wajib. Tetapi kini, setiap pasangan yang akan bernikah mesti melepasi saringan ujian HIV ini.
- Apa yang anda perlu lakukan adalah pergi ke Klinik Kesihatan berhampiran tempat anda dan beritahu kaunter yang anda ingin melakukan ujian HIV bagi tujuan perkahwinan. Anda akan di minta untuk masuk ke bilik khas (selalunya tidak perlu ambil nombor giliran) dan staf kesihatan bertugas akan mencucuk sedikit jari anda untuk mengambil sampel darah. Selesai! Mudah bukan? Anda kemudiannya perlu tunggu antara sebulan hingga 3 bulan sebelum perlu pergi semula ke Klinik Kesihatan tersebut bagi mengambil keputusan ujian HIV.
- Jika segalanya okay, lampirkan kertas tersebut dengan borang nikah anda untuk dihantar ke Pejabat Agama Islam.
- Sertai Kursus Kahwin
- Jika anda pernah menyertai kursus kahwin ketika belajar, senarai semak persiapan perkahwinan seterusnya ini boleh anda abaikan. Namun, jika anda belum ada sijil kahwin, pastikan anda menyertai mana-mana kursus kahwin di sekitar bandar anda.
- Selalunya kursus ini berjalan selama dua hari dan akan membincangkan segala isu penting berkaitan perkahwinan dan tanggungjawab isteri/suami dan hal rumah tangga.
- Selesai kursus, anda akan terus menerima sijil pada hari terakhir. Buat salinan dan kepilkan bersama borang nikah anda.
- Tempah Persalinan Baju Raja Sehari
- Cari kedai pengantin pilihan anda dan tempah persalinan baju raja sehari mengikut kesukaan anda dan pasangan. Pastikan baju tersebut kena dengan tema majlis perkahwinan. Jika tidak, anda akan menjadi bahan jenaka para tetamu!
- Selalunya, pengantin akan memilih sama ada berbaju tradisional (songket bagi melayu, cheongsam bagi cina dan sari bagi india). Namun, ada juga memilih baju tuksedo dan dress, serta jubah bagi konsep islamik.
- Tentukan Khidmat Dandanan dan Solekan
- Ini lagi satu perkara penting. Dapatkan khidmat dandanan yang bersesuaian. Pastikan anda membuat temujanji dan melihat sendiri hasil dandanan mak andam tersebut. Jika anda suka, jangan bertangguh lagi, tempah khidmatnya segera.
- Pilih Pengapit dan Dulang Girls/Boys
- Selalunya, pengantin akan memilih pengapit dan dulang girls/boys dari kalangan rakan rapat masing-masing. Ada juga memilih sepupu sendiri untuk menjadi pengapit atau gadis bunga telur. Terpulang. Tetapi pastikan anda memberitahu mereka terlebih awal dan sediakan segala keperluan mereka untuk majlis itu nanti (baju sedondon, tempat tinggal, makan minum).
- Beli Cincin Perkahwinan
- Selalunya selepas acara akad nikah, pengantin lelaki akan menyarungkan cincin/gelang ke tangan pengantin perempuan semasa acara batal air sembahyang. Jadi, jangan pula anda terlupa untuk membeli cincin.
- Anda boleh pilih sama ada untuk membeli di kedai emas berhampiran rumah anda atau membeli daripada kedai emas popular seperti Poh Kong, Habib Jewels, Tiffany & Co. dan sebagainya.
- Tempah Khidmat Jurugambar Profesional
- Jangan lupa juga untuk menempah khidmat jurugambar profesional. Mereka selalunya sibuk, jadi untuk elakkan dari kecewa, tempah mereka awal.
- Jika anda berkira-kira untuk mengambil jurugambar amatur bagi mengurangkan kos, berhati-hati. Anda mungkin akan kecewa dengan hasil tangkapan gambar mereka yang tidak berpengalaman. Jadi, untuk selamat, pastikan anda membuat survey terlebih dahulu dan pilih mereka yang menawarkan khidmat cemerlang, profesional, dan berpatutan.
- Bincang & Buat Senarai Barang Hantaran
- Inilah masanya untuk menyelesaikan hal dulang hantaran. Berbincanglah dengan pasangan dan buat senarai lengkap barang yang ingin diletakkan di atas dulang.
- Sebagai panduan, anda boleh memilih antara barangan berikut:
- Set alat kemas
- Set barang makeup
- Set pakaian/kasut
- Set minyak wangi/pencuci muka
- Set makanan
- Set kain meter/telekung/sejadah
- Set sirih junjung
- Set barang elektronik
- Set replika kunci atau cek wang hantaran
- Set emas dinar/emas jongkong
- Dapatkan Senarai Tetamu Jemputan
- Bagi kedua-dua majlis pengantin lelaki dan perempuan, pastikan anda menyiapkan senarai jemputan tetamu.
- Jika majlis diadakan di dewan atau di hotel, pastikan anda turut meletakkan nama tetamu pada tempat duduk. Ia akan membantu melancarkan majlis anda nanti.
- Tentukan Menu Makan Majlis dan Katering Pilihan
- Antara perkara yang diingati oleh tetamu adalah betapa sedapnya makanan pada majlis walimah anda. Jadi, pastikan anda memilih khidmat katering dengan berhati-hati.
- Bagi memastikan kualiti hidangan, pastikan anda membuat temujanji dengan pihak katering dan buat sesi merasa makanan. Bawa ahli keluarga untuk dapatkan pandangan mereka.
- Tempah Kek Perkahwinan
- Jika anda ingin membuat acara memotong kek perkahwinan, sudah tentu anda perlu membuat tempahan kek perkahwinan awal. Pilih rasa kek yang anda gemari dan tentukan corak serta hiasannya. Sekali lagi, anda turut boleh mencuba rasa kek tersebut sebelum membuat tempahan.
- Jika anda ingin cara lebih cepat dan murah, beli sahaja kek Secret Recipe. Ia tidaklah bertingkat-tingkat, tetapi rasanya memang puas hati.
- Cari Tempat Penginapan Keluarga Bertandang
- Hal ini jangan terlepas pandang! Masukkan ia ke dalam senarai checklist perkahwinan anda.
- Jika keluarga belah lelaki/perempuan yang bertandang itu ramai, sewa sahaja rumah inap atau homestay. Kosnya selalu di antara RM250 hingga RM350 semalam.
- Jika majlis anda di hotel, pastikan anda mendapatkan tawaran harga bilik tetamu istimewa daripada pihak hotel.
- Tentukan Kereta Pengantin
- Tentukan juga kereta pengantin yang akan digunakan semasa majlis anda nanti.
- Pada masa yang sama, pastikan anda cari pemandu kereta itu nanti. Jika tidak, pengantin itu sendirilah yang terpaksa memandu kereta tersebut.
- Tempah Kad Kahwin
- Ada banyak cara untuk membuat kad kahwin – sama ada melalui cara DIY atau tempahan.
- Jika anda ingin menempah, pastikan anda bincangkan design kad tersebut, kos percetakan, dan harga tawaran pakej terbaik. Kos keseluruhan kad kahwin biasanya bergantung kepada halaman kad, kualiti kertas kad, dan design kad tersebut.
- Beli Barang Hiasan atau Door Gift
- Pastikan anda turut mula membeli barang hiasan atau door gift 6 bulan sebelum majlis perkahwinan anda.
- Antara yang diperlukan adalah:
- Bunga pahar
- Bunga telur
- Beg hadiah
- Hiasan gubahan dulang
- Set katil dan hiasan bilik pengantin
- Barang hiasan untuk meja candy atau photo booth
- Tempah DJ/Pengacara Majlis
- Jika anda inginkan majlis perkahwinan yang meriah, dapatkan juga khidmat pengacara majlis atau DJ majlis. Ia bergantung kepada bajet anda.
- Tentukan Kumpulan Marhaban/Kompang/Silat
- Bagi mereka yang mempunyai majlis berkonsepkan melayu tradisional, pastikan anda menempah kumpulan marhaban, kompang atau silat. Mereka inilah yang akan memeriahkan lagi majlis anda dengan persembahan hebat mereka.
- Aturkan Sesi Penggambaran Untuk Banner Bunting
- Untuk memudahkan para tetamu mencari lokasi majlis anda, cetak bunting yang besar dan gantungnya di beberapa lokasi.
- Aturkan juga sesi penggambaran supaya gambar anda dan pasangan boleh dimasukkan pada bunting. Ini adalah satu persiapan sebelum kahwin yang sering tertinggal daripada kebanyakkan senarai semak persiapan perkahwinan!
- Buat Senarai Tugasan Ahli Keluarga
- Beberapa minggu sebelum majlis, ini adalah masa untuk melengkapkan persiapan kahwin anda. Buat senarai tugasan bagi setiap ahli keluarga.
- Antara tugasan yang biasanya diberikan semasa majlis perkahwinan adalah:
- Menjaga meja hadiah
- Menyambut tetamu
- Menangkap gambar
- Menjadi pengapit/tukang kipas/tukang payung
- Menghidang makanan di meja keluarga pengantin
- Memberi goodies/bunga telur
- Menjaga barang hantaran
- Membantu penanggah
- Menguruskan penginapan tetamu terdekat
- Mandi Bunga atau Memanjakan Diri di Spa
- Untuk persediaan kahwin di saat akhir, manjakan diri anda di spa bagi pengantin perempuan dan juga pengantin lelaki.
- Buat rawatan muka dan badan bagi memastikan anda tampil berseri-seri semasa hari bahagia anda nanti. Ia juga membantu anda bertenang dan mengurangkan stress atau debaran!
- Uruskan Permohonan Cuti dengan Majikan
- Antara persediaan sebelum berkahwin adalah: uruskan permohonan cuti dan rehat diri anda dari kesibukan kerja. Pada masa ini, anda patut memberikan tumpuan kepada majlis perkahwinan anda!
- Selesaikan Pembayaran Deposit untuk Semua Tempahan
- Juga, selesaikan pembayaran deposit untuk semua tempahan yang anda telah buat tempoh hari. Jika anda terlupa untuk melakukan perkara ini, takut-takut mereka tidak muncul pada hari perkahwinan anda nanti!
- Rancang Aturcara Majlis dan Sesi Raptai
- Lagi satu perkara yang perlu dimasukkan ke dalam senarai checklist perkahwinan anda ialah sesi raptai dan penentuan acara majlis.
- Jika majlis anda santai, anda mungkin tidak memerlukannya. Tetapi, jika majlis anda di hotel dan dihadiri oleh para VIP, sesi raptai ini penting bagi melancarkan urusan perjalanan majlis.
- Sediakan Pakaian Pengantin dan Pakai Inai
- Akhir sekali, pada malam sebelum majlis perkahwinan anda, sediakan diri dan pakaian pengantin anda. Pastikan segalanya bergosok, cincin elok tersedia dan siapkan diri dengan memakai inai.
- Besok, anda akan melalui hari yang sangat penting. Yang paling utama, jangan lupa untuk menikmati hari tersebut dengan pasangan anda!
No comments:
Post a Comment